8 punca masalah dalam hubungan






Apa yang menyedihkan didalam hubungan adalah apabila pasangan gagal untuk mempertahankan sesuatu hubungan itu. Ini mungkin disebabkan oleh pasangan tidak berjaya untuk mengenalpasti apakah punca yang menyebabkan masalah dalam hubungan mereka. Sekiranya sesuatu masalah itu tidak dapat diatasi dengan kadar segera, risiko untuk hubungan tersebut akan berpisah amat tinggi. Untuk menyelesaikan sesuatu masalah, pasangan perlu terlebih dahulu mengetahui puncanya. Antara punca yang menyebabkan masalah dalam hubungan adalah…….

(1) Kritikan yang melampau- Pada kebiasaannya, pasangan yang telah menjalinkan hubungan agak lama tidak terlalu peka mengenai masalah ini. Mereka lebih memikirkan mengenai kepuasan hati apabila mengkritik berbanding memikirkan mengenai sensitiviti pasangan. Tanpa mereka sedari, ia sebenarnya telah menimbulkan masalah dalam hubungan dan sekiranya ia dibiarkan berterusan, mungkin akan membuatkan orang yang sentiasa dikritik merasakan perpisahan adalah jalan terbaik. Kritikan yang melampau bukanlah satu cara yang mebina sebaliknya ia menjatuhkan semangat seseorang.

(2) Penipuan- Jangan sesekali memulakan penipuan didalam hubungan walaupun ia suatu perkara yang kecil. Kerana ini akan memberi kesan dalam hubungan untuk jangka masa panjang. Masalah ini perlu dipandang serius untuk mengelakkan pasangan terasa seperti dianiaya. Dikhuatiri penipuan yang telah dilakukan akan mempengaruhi pasangan yang ditipu untuk turut menipu. Adalah lebih teruk sekiranya masalah ini akan terus berlanjutan dan berbalas-balas antara pasangan.

(3) Intipan- Walaupun niat anda mungkin baik untuk mengetahui apakah yang pasangan anda lakukan, tetapi sekiranya mereka mengetahuinya, ia akan membawa masalah besar dalam hubungan. Bina kepercayaan terhadap pasangan anda. Sekiranya anda dapat mengesan tanda kecurangan atau sebagainya, barulah anda cuba lakukan intipan. Jangan sesekali bersangka buruk terhadap pasangan.

(4) Cemburu yang melampau- Cemburu sememangnya amat penting didalam hubungan, ia adalah sebagai tanda anda betul-betul menyayangi pasangan anda. Tetapi sekiranya perasaan cemburu itu tidak dikawal, ia sebenarnya akan menjadi punca yang menyebabkan masalah dalam hubungan. Kawal perasaan cemburu anda agar bersesuaian dengan situasi, tempat, keadaan atau sebagainya.

(5) Membandingkan hubungan masa lampau- Pasangan seharusnya jangan sesekali melakukan perkara seperti ini dalam hubungan. Jangan membandingkan hubungan sekarang dan juga hubungan anda yang lampau. Ini akan mewujudkan pelbagai pemikiran negatif terhadap pasangan. Masalah ini perlu diberi perhatian untuk mengelakkan timbulnya masalah yang lebih besar pada masa akan datang.

(6) Masalah komunikasi- Ia adalah merupakan masalah yang kritikal. Ini kerana semua masalah dalam hubungan seperti perasaan cemburu, krtitikan, penipuan atau sebagainya dapat diatasi sekiranya pasangan mampu berkomunikasi dengan baik. Komunikasi yang baik juga dapat membantu untuk meluahkan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara.

(7) Mengambil ringan- Apabila sesuatu hubungan telah melalui satu jangka masa yang panjang, kebiasaannya pasangan akan mengambil ringan mengenai pasangan mereka. Masalah ini seharusnya dielakkan. Dalam kebahagiaan hubungan, kedua-dua pasangan seharusnya berusaha untuk menyemarakkan lagi perasaan mereka dan bukannya membiarkan ia begitu sahaja.

(8) Aktiviti harian- Pasti setiap orang mempunyai tanggungjawab masing-masing yang perlu dilakukan. Tetapi, jangan sesekali mengabaikan pasangan kerana ia juga merupakan salah satu dari tanggungjawab anda. Walaupun anda sibuk dengan aktiviti harian, cuba cara masa yang sesuai untuk diluangkan kepada pasangan. Masalah di dalam hubungan pasti berjaya dielakkan sekiranya anda bijak untuk membahagikan masa.

Tiada ulasan: